dia

Tuesday, May 26, 2009

Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Semasa Kecil

Nabi Muhammmad S.A.W. merupakan nabi dan rasul terakhir yang diutuskan Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia dan pembawa rahmat ke seluruh alam. Baginda dilahirkan di Kota Mekah pada Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April Tahun 571 Masihi. Baginda berbangsa Arab Quraish daripada keturunan Bani Hashim. Ibundanya bernama Aminah dan ayahandanya bernama Abdullah. Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. membawa sinar kepada seluruh umat manusia dan dimuliakan oleh para malaikat di langit. Baginda telah membawa perubahan dan mengajar manusia untuk mengenal Allah, melakukan kebaikan, dan meninggalkan kejahatan. Malah, Baginda mengajar umatnya supaya menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Sebelum kelahiran baginda, ibunya Aminah sering bermimpi. Suatu ketika, Aminah bermimpi melihat cahaya keluar daripada tubuhnya. Cahaya tersebut semakin lama semakin terang sehingga Aminah dapat melihat Istana di Basrah. Pada masa yang lain, Aminah juga pernah bermimpi ternampak malaikat Jibril. Aminah disuruh oleh Jibril supaya menamakan anaknya Ahmad dan memberitahunya bahawa anak yang akan dilahirkannya itu bakal menjadi nabi. Aminah percaya dan yakin bahawa mimpinya itu mimpi yang benar. Tambahan pula, sepanjang mengandungkan Nabi Muhammad, Aminah tidak merasa berat ataupun sakit. Keajaiban terus dirasakan Aminah kerana semasa melahirkan Nabi Muhammad S.A.W. Aminah juga tidak merasa sakit. Nabi dilahirkan dalam keadaan meniarap dan sudah berkhatan. Nabi juga tidak menangis semasa dilahirkan, kepalanya mendongak ke atas, dua jarinya terangkat-angkat seperti mengira sesuatu. Malah, semasa kelahiran Nabi, api berhala yang disembah oleh orang kafir telah padam serta merta. Nabi Muhammad dilahirkan di rumah datuknya, Abdul Muttalib. Bapa baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika nabi berusia dua bulan dalam kandungan ibunya. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan sebagai anak yatim. Setelah dilahirkan, Nabi Muhammad telah disusukan oleh ibunya Aminah selama tiga hari. Kemudian baginda disusukan pula oleh ibu susuannya yang pertama, iaitu Thuwaibatul Aslamiyah. Tempoh penyusuannya dengan Thuwaibatul Aslamiyah hanyalah seketika sahaja, sementara menunggu ibu susuan dari desa. Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad S.A.W. diserahkan kepada ibu susuannya yang baru, iaitu Halimatun Saadiah. Aminah menyerahkan Nabi Muhammad S.A.W. kepada ibu susuan kerana sudah menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa itu mengupah ibu susuan untuk menyusukan anak-anak mereka. Halimatun Saadiah telah membawa Nabi Muhammad S.A.W. pulang ke perkampungannya, iaitu perkampungan Bani Saad. Semenjak kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. perkampungan Bani Saad telah banyak berubah. Sebelum Halimatun Saadiah pergi ke Mekah untuk mencari anak susuan, perkampungan itu telah dilanda kemarau yang teruk. Ini menyebabkan berlaku kekurangan makanan, binatang ternakannya menjadi kurus, dan tanaman mereka tidak menjadi. Namun begitu, setelah kedatangan Nabi, walaupun perkampungan itu dilanda kemarau, kambing-kambing peliharaan mereka menjadi gemuk dan sarat dengan susu. Manakala tanaman mereka pula amat subur dan mengeluarkan hasil yang banyak. Sungguh luar biasa! Perkampungan Bani Saad yang dahulunya tandus telah bertukar menjadi bumi yang subur dan makmur. Nabi tinggal di perkampungan Bani Saad selama lima tahun.
Ketika Nabi Muhammad S.A.W. berumur tiga tahun, telah berlaku suatu peristiwa yang menakjubkan pada dirinya. Sewaktu Nabi Muhammad S.A.W. sedang bermain-main dengan saudara susuan dan kawan-kawannya, tiba-tiba datang dua orang lelaki berpakaian putih mendekati Baginda. Kedua-dua lelaki tersebut mengangkat dan menelentangkan baginda. Dada dan perut Nabi telah dibelah. Hati Baginda dicucikan di dalam bekas emas yang berisi air zam zam. Saudara susuannya terus pergi mendapatkan ibunya dalam keadaan ketakutan dan memberitahu hal tersebut. Kejadian itu benar-benar merungsingkan Halimatun Saadiah. Sebenarnya, kedua-dua lelaki tersebut adalah malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk menyucikan hati Nabi Muhammad S.A.W. daripada kejahatan sebagai persediaan untuk baginda menjadi Rasulullah. Setelah berusia lima tahun, tibalah masanya Nabi Muhammad S.A.W. akan diserahkan kepada ibunya, Aminah. Halimatun Saadiah berasa sangat sedih. Keluarganya amat sayang kepada Nabi. Selama lima tahun Nabi Muhammad S.A.W. diasuh dengan penuh kasih sayang dan dididik dengan akhlak yang terpuji. Ketika tiba di Kota Mekah, Nabi Muhammad telah hilang dalam kumpulan orang ramai yang berpusu-pusu dekat pintu gerbang Kota Mekah. Halimatun Saadiah berasa amat sedih dengan kehilangan tersebut, lalu menemui Abdul Muttalib. Semua penduduk Mekah membantu mencari Nabi Muhammad. Akhirnya, baginda ditemui oleh Waraqah bin Naufal. Ketika ditemui, Nabi sedang asyik melihat ke langit. Abdul Muttalib segera mendukung nabi dan tawaf mengelilingi Kaabah. Kemudian nabi dibawa menemuinya ibunya. Aminah berasa sangat gembira kerana dapat bertemu kembali dengan putera kesayangannya. Sejak itu, tinggallah Nabi Muhammad S.A.W. bersama ibu kandungnya dan diasuh oleh Ummu Aiman. Pada suatu hari, ibunya mengajak Nabi ke Yathrib untuk menziarahi pusara bapanya, Abdullah bin Abdul Muttalib. Mereka membawa Ummu Aiman bersama. Mereka berada di sana selama sebulan. Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia di Abwa'. Aminah dikebumikan di situ. Setelah itu, pulanglah Nabi bersama Ummu Aiman ke Mekah sebagai anak yatim piatu. Ummu Aiman menyerahkan Nabi Muhammad S.A.W. kepada datuknya, Abdul Muttalib. Datuknya telah memelihara Nabi dengan penuh kasih sayang. Namun begitu, Ummu Aiman masih lagi mengasuh Nabi. Tidak lama bersama datuknya, sekali lagi Nabi Muhammad S.A.W. kehilangan orang tersayang apabila datuknya jatuh sakit dan meninggal dunia. Ketika itu, Nabi berusia lapan tahun. Nabi Muhammad S.A.W. amat sedih dengan kejadian itu. Namun, Baginda terus tabah menghadapi ujian dan dugaan hidup. Setelah datuknya meninggal, maka Nabi Muhammad S.A.W. dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Abu Talib merupakan seorang yang dihormati dan dipandang mulia oleh orang Quraish. Namun begitu, Abu Talib bukanlah seorang yang kaya-raya. Kehidupannya susah dan mempunyai anak yang ramai. Semasa di bawah jagaan Abu Talib, Nabi Muhammad S.A.W. telah belajar mengembala kambing dan berniaga. Baginda juga mengambil upah mengembala kambing untuk membantu bapa saudaranya. Ketika berusia 12 tahun, Nabi Muhammad S.A.W. telah dibawa oleh bapa saudaranya berniaga di Syam. Dalam perjalanan, mereka telah bertemu seorang paderi Nasrani bernama Buhaira. Paderi itu memberitahu bahawa Muhammad bakal menjadi seorang Nabi. Dia berpesan agar Abu Talib menjaga Nabi Muhammad S.A.W. dengan baik. Mulai saat itu, Abu Talib menjaga Nabi Muhammad S.A.W. dengan penuh kasih sayang dan melindunginya sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W. dewasa.

0 comments:

Post a Comment